:Nota untuk sahabat2ku yang bergelar wanita:::::
biar cantik rupa dan hati
sebagai penyeri keluarga dan suami
Ilmu dan amal teguh di sanubari
tak undur mengalah menempuh hari
indah di sana syurga menanti
buatmu sahabat yang bergelar puteri
Hawa,
Sedarkah engkau sebelum datangnya sinar Islam, kita dizalimi?
hak kita dicerobohi? kita ditanam hidup-hidup? tiada penghormatan walau secebis
oleh kaum Adam, tiada nilaian di mata Adam… kita hanya sebagai alat untuk
memuaskan hawa nafsu mereka. Tapi kini… rahmat Islam menyelubungi alam, sinar
Islam berkembang, darjat kita diangkat, maruah kita terpelihara, kita dihargai
dan di pandang mulia dan mendapat tempat di sisi Allah sehingga tiada
sebaik-baik hiasan di dunia ini melainkan wanita solehah.
Wahai Hawa,
Kenapa engkau tidak menghargai nikmat iman dan Islam itu?
Kenapa mesti engkau kaku dalam mentaati ajaranNya? Kenapa masih segan
mengamalkan isi kandungannya? dan Kenapa masih was-was dalam mematuhi
perintahNya?
Wahai Hawa,
Tangan yang menggoncang buaian bisa menggoncang dunia,
sedarlah hawa kau bisa menggoncang dunia dengan melahirkan manusia yang hebat…
yakni yang soleh solehah… kau bisa mengegar dunia dengan menjadi isteri yang
taat serta memberi dorongan dan sokongan pada suami yang sejati dalam
menegakkan Islam di mata dunia... Tapi hawa jangan sesekali kau cuba
menggoncang keimanan lelaki dengan lembut tuturmu, dengan ayu wajahmu, dengan
lengguk tubuhmu. Jangan kau menghentak-hentak kakimu untuk menyatakan
kehadiranmu. Jangan Hawa, jangan sesekali cuba menarik perhatian kaum Adam yang
bukan suamimu. Jangan sesekali menggoda lelaki yang bukan suamimu, kerna ia
mengundang kemurkaan dan kebencian Allah. Sedarlah kerana ia hanya memberi
kegembiraan pada syaitan… kerana wanita adalah jala syaitan, alat yang di
eksploitasikan oleh syaitan dalam menyesatkan Adam
Hawa,
Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat
kedua ibubapamu, andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan
beban suamimu, andai engkau seorang ibu didiklah anakmu sehingga ia tak gentar
memperjuangkan ad-din Allah.
Hawa,
Andai engkau belum berkahwin, jangan kau risau akan jodohmu,
ingatlah hawa janji tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik.
Jangan menggadaikan maruahmu hanya semata-mata kerana seorang lelaki, jangan
memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuhmu hanya untuk menarik perhatian
dan memikat kaum lelaki, kerana kau bukan memancing hatinya tapi merangsang
nafsunya. Jangan memulakan pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim kerana
khuatir dari mata turun ke hati, dari senyuman membawa ke salam, dari salam
cenderung kepada pertemuan dan dari pertemuaan….. takut lahirnya nafsu
kejahatan yang menguasai diri.
Hawa,
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki yang soleh
tidak memilih wanita melalui keseksiannya, lelaki yang warak tidak menilai
wanita melalui keayuaannya, kemanjaannya, serta kemampuannya menggoncang iman
mereka. Tetapi hawa, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya,
peribadinya, dan ad-dinnya. Lelaki yang baik tidak menginginkan sebuah
pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut menberi
kesempatan pada syaitan untuk menggodanya. Lelaki yang warak juga tak mahu
bermain cinta sebabnya dia tahu apa matlamat dalam sebuah hubungan antara
lelaki dan wanita… yakni perkahwinan.
Oleh itu Hawa,
Jagalah pandanganmu, jagalah pakaianmu, jagalah akhlakmu,
kuatkan pendirianmu. Andai kata ditakdirkan tiada cinta dari Adam untukmu,
cukuplah hanya cinta Allah menyinari dan memenuhi jiwamu, biarlah hanya cinta
kedua ibubapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar
cinta adik beradik serta keluarga yang akan membahagiakan dirimu.
Hawa,
Cintailah Allah di kala susah dan senang kerana kau akan
memperolehi cinta dari insan yang juga menyintai Allah. Cintailah kedua
ibubapamu kerana kau akan perolehi keredhaan Allah. Cintailah keluargamu kerana
tiada cinta selain cinta keluarga.